Sep 23, 2011

::ISL 1: PENGERTIAN DAN KONSEP::






Pentaksiran


Pentaksiran ialah satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk sesuatu proses pendidikan. Maklumat meliputi hal-hal berkaitan topik, bukti dan prestasi. Penghakiman melibatkan hal-hal seperti pertimbangan dan pencapaian aspek pendidikan, manakala produk pula melibatkan pengetahuan, kemahiran dan nilai. Proses pendidikan pula melibatkan operasi, dapatan dan hasil. Aspek-aspek utama dalam pentaksiran ialah:-
i. Instrumen
ii. Kumpulan yang ditaksir
iii. Respon
iv. Kumpulan yang menaksir
v. Skor

Pengujian


 Merupakan satu kaedah dalam pengukuran dan dijalankan dengan cara yang sistematik.
 Ia juga satu cara bagi mengukur tingkah laku seseorang individu.
 Ia dilaksanakan dalam tiga peringkat, iaitu sebelum, semasa dan selepas sesuatu pengajaran
 Ujian boleh diberikan sebelum sesuatu pengajaran berlaku dengan tujuan untuk mengumpul maklumat. Ujian itu dikenali sebagai ujian pra atau pretest.
 Semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku ujian diberikan sama ada secara lisan atau bertulis. Ujian ini bagi mengetahui kemajuan yang dicapai oleh pelajar-pelajar dan pemahaman mereka terhadap P&P guru.

Ujian ialah satu alat. Dalam P & P bahasa, ujian ialah bahan yang bertulis atau tercetak atau terakam yang telah dibentuk oleh guru untuk menguji sesuatu kemahiran bahasa. Misalnya, guru membina ujian kloz bagi menguji kefahaman membaca atau ujian imlak bagi menguji kefahaman mendengar. Namun, perlu diingat bahawa ujian mungkin menjadi kurang baik jika pentadbir ujian menggunakannya dan menginterpretasinya secara tidak jujur. Oleh itu, ujian perlulah digunakan sesuai dengan perkara yang hendak diuji itu. Contohnya, jika guru menguji tahap kefahaman murid Tahun 4 dengan menggunakan bahan bacaan yang layak untuk Tingkatan 1, sudah semestinya keputusan pelajar ini tidak menggalakkan.


Penilaian


Penilaian telah didefinisikan dengan banyak cara.

Stufflebeam et. al. (1971: xxv) menyatakan “penilaian” sebagai

the process of delineating, obtaining, and
providing useful information for judging decision alternatives.

Terry D. TenBrink (1974:8) pula menyatakan bahawa penilaian adalah

suatu proses mendapatkan maklumat yang akan digunakan untuk membuat pertimbangan yang seterusnya digunakan dalam membuat keputusan.


Penilaian merupakan satu proses untuk memperolehi maklumat kuantitatif. Ia adalah satu proses bagi guru untuk menentukan perubahan tingkah laku dan membuat pertimbangan menilai. Proses menilai dapat memberi maklumat tentang pencapaian objektif pelajaran, kaedah mengajar seorang guru dan keberkesanan sesebuah kurikulum. Pentafsiran penilaian berdasarkan data kuantitatif dan penghuraian kualitatif. Ia boleh dijalankan sebelum, semasa atau selepas satu sesi pengajaran guru. Ia boleh dijalankan berdasarkan sesuatu pembelajaran spesifik atau kepada keseluruhan kurikulum.



Tujuan
  1. Sebagai penggerak kepada pelajar untuk menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru.
  2. Sebagai alat mencari punca kelemahan murid.
  3. Bagi mendapatkan maklumbalas keberkesanan pengajaran guru.
  4. Menilai prestasi dan kemajuan pelajar.
  5. Mengetahui pembelajaran lampau seseorang pelajar.
  6. Membolehkan murid mendapatkan sijil setelah lulus peperiksaan.
  7. Membuat ramalan tentang kemungkinan murid tersebut berjaya atau tidak dalam peperiksaan besar.
  8. Bagi membuat klasifikasi / pembahagian murid.
  9. Memudahkan pihak berkuasa membuat pemilihan ke sekolah-sekolah terbaik.
  10. Membuat sebarang penyelidikan berkaitan pendidikan.
Kepentingan
  1. Membantu guru membimbing setiap pelajar untuk mempelajari setiap konsep dan kemahiran.
  2. Membekalkan murid dan ibu bapanya dengan laporan kemajuan yang boleh digunakan untuk bimbingan proses pembelajaran.
  3. megesahkan suatu paras pencapaian pelajar.
  4. Membekalkan rekod dan laporan yang boleh membantu ahli profesional lain untuk membimbing pelajar secara individu.
  5. Menentukan cara pengajaran kumpulan efisien dan efektif.
Ciri-ciri Utama Ujian
  1. Kesahan
  2. Kebolehpercayaan
  3. Keobjektifan
  4. Kebolehtadbiran
  5. Kebolehtafsiran
>> Kesahan merujuk kepada takat sesuatu ujian dapat memenuhi tujuannya. ia terbahagi kepada empat iaitu kesahan isi, kesahan ramalan, kesahan gagasan, dan kesahan serentak.

Kesahan isi merujuk kepada keupayaan ujian menguji apa yang sepatutnya diuji. Contohnya, ujian kebolehan berbahasa perlu mengandungi soalan tentang bacaan petikan dan soalan kefahaman petikan itu.

Kesahan ramalan merujuk kepada takat ujian meramal kebolehan seseorang calon menjalankan sesuatu tugas dalam situasi yang lain ataupun pada masa hadapan. Contohnya, hasil ujian penulisan mungkin dapat meramal sejauh mana murid dapat membuat karangan dalam sesebuah bengkel. Sekiranya markah calon itu tinggi dan selalu dapat membuat karangan yang baik semasa bengkel dijalankan, maka kesahan ramalan ujian penulisan adalah tinggi.

Kesahan gagasan merujuk kepada takat sesuatu trait hipotetikal dibayangkan dalam pencapaian ujian. Contohnya, markah seseorang mungkin dipengaruhi oleh kecerdasan, kebolehan menaakul, dan sebagainya.

Kesahan serentak bertujuan menentukan tarap seseorang murid. Contohnya, dalam pengajaran Bahasa Melayu, satu objektif penting adalah untuk membolehkan murid menulis dengan baik berdasarkan peraturan-peraturan tatabahasa. Para pelajar yang memperoleh markah yang tinggi dalam ujian pencapaian (Bahasa Melayu) seharusnya boleh menulis dan bertutur dengan baik jika kesahan serentak ujian itu tinggi.

>> Kebolehpercayaan merujuk kepada ketekalan sesuatu ujian. Contohnya, jika seseorang calon mendapat markah sebanyak 80 peratus dalam suatu ujian pada hari pertama dan mendapat markah yang sama atau hampir sama tiga hari kemudian atau selepas seminggu, maka ujian itu dikatakan mempunyai sifat kebolehpercayaan.

>> Keobjektifan merujuk kepada takat yang mana pemeriksa-pemeriksa yang mahir memeberikan markah yang sama kepada skrip jawapan yang sama. Contohnya, keobjektifan adalah paling tinggi bagi ujian objektif (aneka pilihan) berbanding ujian subjektif dan pemarkahan tidak dipengaruhi oleh taksiran atau perasaan emosi pemeriksa. Sekiranya prosedur objektif digunakan, kebolehpercayaan hasil ujian adalah terjamin.

>> Kebolehtadbiran diambil kira apabila ujian ditadbir oleh guru yang terhad latihan mereka. Arahan-arahan ujian seharusya jelas dan mudah. Masa yang diperuntukkan haruslah mencukupi. Sekiranya murid tidak dapat menjawab kertas melalu masa yang ditetapkan, maka kesahan dan kebolehpercayaan ujian juga akan turut terjejas. Kebolehtadbiran merangkumi aspek pemarkahan. Contohnya, ujian objektif lebih mudah diperiksa berbanding ujian subjektif. Oleh itu, ia lebih diutamakan guru untuk menanda.



read n like are appreciated!

wibiya widget