Item subjektif bermaksud item yang mempunyai jawapan terbuka, iaitu yang tidak spesifik seperti jawapan kepada item objektif. Item subjektif ini membenarkan subjektiviti dalam jawapan yang diberikan. Item ini digunakan untuk pelajar mempamerkan kedalaman pengetahuan yang dimiliki. Justeru, item ini sesuai untuk mengukur tahap kognitif yang lebih tinggi, seperti mengukur penguasaan menganalisis, mensintesis, membuat pertimbangan, menilai dan membuat keputusan, yang memerlukan kemahiran berfikir. Item subjektif juga memberi kebebasan kepada pelajar dari segi gaya persembahan jawapan dan juga panjang atau pendek jawapan tersebut.
Prinsip Am Penyediaan Item Subjektif
Item subjektif ini biasa berbentuk esei, sama ada berjawapan pendek, sederhana atau panjang. Justeru, prinsip penyediaan item jenis esei ini adalah sama bagi ketiga-tiga kategori soalan tersebut. Berikut adalah tujuh prinsip am untuk menyediakan soalan berbentuk esei:
1.Penulis perlu menyemak sukatan pelajaran dan objektif pengajaran, supaya soalan yang dihasilkan menepati sukatan pelajaran dan objektif pengajaran tersebut.
2. Arahan hendaklah jelas tentang panjang jawapan dan sama ada pelajar perlu menjawab dalam kertas soalan (mengisi ruang kosong) atau dalam kertas jawapan.
3. Soalan hendaklah ditulis secara padat, jelas dan tidak “berbunga-bunga”, supaya pelajar tidak membuang masa untuk memahaminya.
4. Aras kesukaran setiap soalan perlu setara supaya setiap soalan yang diberi markah yang sama, mempunyai aras kesukaran yang sama juga.
5. Soalan perlu ditulis supaya pelajar dapat membayangkan satu kerangka struktur yang akan memandu pelajar untuk menjawab soalan tersebut.
6. Tentukan terlebih dahulu perkara yang ingin diberi markah dan markahnya untuk memudahkan penyediaan skema jawapan.
7. Gunakan lebih banyak soalan berjawapan pendek (1/2 muka surat) daripada soalan berjawapan panjang (2-3 muka surat), supaya lebih banyak soalan boleh diberikan.
Pembinaan Item Esei Berjawapan Pendek
Item jenis ini memerlukan pelajar memberi jawapan pendek (biasanya satu perenggan) yang memberi peluang kepada mereka menyampaikan pendapat, hujah atau idea sendiri. Item bentuk ini amat sesuai untuk mengukur pengetahuan, kefahaman dan aplikasi/penyelesaian masalah mudah, yang turut melibatkan kemahiran berfikir. Soalan esei berjawapan pendek ini boleh dibina supaya jawapannya menjadi lebih objektif daripada soalan esei berjawapan terbuka. Dengan jawapan yang terbatas ini, pemeriksaannya dapat diselaraskan dengan mudah, dan ini dapat meningkatkan kebolehpercayaan soalan tersebut. Di sini, walaupun jawapannya lebih objektif daripada jawapan esei terbuka, jawapan esei pendek masih lagi agak subjektif/pelbagai. Oleh sebab jawapan esei pendek ini masih pelbagai, maka pembina soalan perlu menyediakan skema jawapan yang merangkumi semua jawapan yang mungkin.
Pembinaan Item Esei Berjawapan Terbuka
Item bentuk ini membenarkan pelajar merancang dan memberi jawapan secara bebas, justeru, mengundang pelbagai kemungkinan jawapan daripada mereka. Misalnya, pelajar bebas mengemukakan idea, pendapat dan tanggapan, mengorganisasikan idea, membina hujah yang logis, memberikan penilaian terhadap sesuatu pemikiran atau mengaitkan pemikiran dengan perasaan. Oleh itu, jenis item ini amat sesuai untuk mengukur konstruk, yang memerlukan pelajar menggunakan beberapa kemahiran seperti menginterpretasi, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Item jenis ini juga membolehkan pelajar mempamerkan proses pemikiran kritis dan kreatif.
Pelajar juga akan menghadapi masalah semasa menjawab soalan berjawapan terbuka ini, sebab mereka perlu mengutip dan memilih isi-isi dan idea-idea daripada pengetahuan sendiri, menyusun isi-isi dan idea-idea ini, dan seterusnya, menulis dengan cara yang logik supaya isi-isi dan idea-idea ini dapat dikomunikasikan dengan
baik. Oleh sebab jawapannya yang amat terbuka, yang mengandungi isi-isi, idea-idea dan kreativiti tertentu, maka pembina item bentuk ini perlu menyediakan skema/ peraturan pemarkahan yang jelas, terperinci dan menyeluruh, agar penilaian pencapaian pelajar dapat dibuat sewajarnya.
Walaupun item berjawapan terbuka ini sukar dijawab dan juga diperiksa, ia mempunyai kekuatan tersendiri, iaitu dapat menggalakkan pelajar:
• menerokai pelbagai cara atau pendekatan untuk menyelesaikan sesuatu masalah;
• membuat pertimbangan dan penilaian tentang sesuatu idea atau maklumat;
• mempamerkan sesuatu idea yang asli mereka;
• mengabungkan pelbagai pengetahuan, idea dan maklumat; dan
• mengenal pasti, memilih, menyusun dan mempersembahkan sesuatu perkara atau idea dalam bentuk komunikasi bertulis.
Dengan beberapa kekuatan yang ada, item berjawapan terbuka turut mempamerkan beberapa masalah/kekangan yang tersendiri, iaitu ia memerlukan:
• pemeriksa yang terlatih untuk memerika jawapan;
• masa yang panjang untuk memeriksa jawapan berbanding item objektif;
• masa yang panjang untuk pelajar menulis jawapan; dan
• pelajar menulis secara jelas dan boleh dibaca (readable).