Sep 23, 2011

::JADUAL SPESIFIKASI UJIAN (JSU)::


Definisi

Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) atau dikenali juga sebagai Jadual Penentu ujian (JPU) merupakan carta dua hala atau jadual yang mengandungi senarai topik-topik atau objektif-objektif pengajaran dalam bentuk aras kemahiran yang diuji. Selain dikenali sebagai JPU, JSU juga dikenali sebagai Test Specification Table (TST), Jadual Penentu Item (JPI) dan Jadual Pengagihan Soalan (JPS).

Tujuan

Pembinaan JSU dalam bidang pendidikan mempunyai tujuan-tujuan serta fungsinya yang tersendiri. Antara tujuan tersebut adalah sebagai panduan dan penentu kepada penggubal soalan untuk menggubal secara terancang. Ini secara tidak langsung akan memastikan bahawa ujian atau item soalan tidak dibina secara sembarangan dan menjamin kesahan serta kebolehpercayaan sesuatu ujian.
Selain itu, JSU juga dibina untuk menentukan bidang atau topik-topik dan objektif pengajaran dan pembelajaran yang diuji. Hal ini termasuklah dalam menentukan pemberatan yang akan diberikan dalam sesuatu ujian. Bukan itu sahaja, melalui JSU keselarasan aras kesukaran item dan bilangannya dapat diseragamkan dan sekaligus akan menstabilkan taraf serta mutu ujian.

Langkah-langkah Pembinaan JSU

Terdapat empat langkah utama yang terlibat dalam pembinaan JSU ini, iaitu mengkaji sukatan pelajaran, menentukan jenis soalan, menentukan bilangan soalan dan menganalisis objektif pengajaran.

Mengkaji Sukatan Pelajaran

Pembinaan JSU memerlukan kajian tentang kurikulum yang dibina secara keseluruhan. Kajian mengenai sukatan pelajaran ini bertujuan untuk menganalisis dan menentukan kepentingan setiap tajuk kandungannya.

Antara aspek yang dikaji ialah mengenalpasti skop dan kedalaman pengajaran bagi sesuatu tajuk. Hal ini supaya item-item soalan yang bakal dibina tidak melepasi atau terkeluar daripada skop sesuatu tajuk yang diajar. Selain itu, aspek pendekatan yang diambil dalam pengajaran sesuatu tajuk juga dipertimbangkan semasa penyediaan JSU ini. Di samping itu, masa yang diperuntukkan bagi sesuatu tajuk juga dipertimbangkan dalam penyediaan JSU ini.

Menentukan Jenis Soalan
Sebelum seseorang guru mula membina item-item soalan, guru itu harus mengetahui dan juga dapat menentukan objektif pengajaran. Secara ringkasnya, objektif pengajaran dan pembelajaran ialah pernyataan berkenaan dengan apa yang dapat dilakukan oleh murid-murid hasil daripada pengajaran seseorang guru itu.
Objektif pengajaran boleh dikategorikan kepada tiga bidang utama, iaitu bidang kognitif, psikomotor dan afektif atau sosial. Oleh itu, semasa pembinaan JSU, guru harus menentukan domain objektif pengajaran dan juga peringkat objektif pengajaran yang ingin diukur. Misalnya, jika kita ingin mengukur domain kognitif bagi mata pelajaran Bahasa Melayu bagi tajuk “Struktur ayat” pada peringkat “Aplikasi”, maka jenis soalan yang sesuai ialah soalan jenis “Objektif” yang berbentuk “melengkapkan ayat” atau soalan jenis “Subjektif” yang berbentuk “menggubal ayat-ayat”.

Menentukan Bilangan Soalan

Jumlah soalan harus mencukupi untuk mewakili kandungan pengajaran, domain objektif pengajaran dan peringkat objektif pengajaran yang hendak diukur. Jumlah soalan adalah penting kerana ia mempengaruhi kebolehpercayaan dan kesahan sesuatu ujian.

Menganalisis Objektif Pengajaran

Di samping mengkaji sukatan pelajaran, objektif pengajaran dianalisis untuk menentukan pengetahuan dan kemahiran yang perlu diuji dan pada tahap kesukaran mana ia perlu diuji. Lazimnya aras pengetahuan dan kemahiran diasaskan kepada pembahagian yang dibuat berdasarkan Taksonomi Bloom. Justeru itu, maklumat-maklumat ini amat penting kepada penggubal kertas ujian dan pembina soalan ujian untuk menentukan jenis dan bilangan soalan yang perlu dibina. Berdasarkan penganalisisan inilah JPU dibina.


read n like are appreciated!

wibiya widget